Tuesday, 27 March 2012

Dari diriku buat dirimu

Sewaktu kali pertama aku dilahirkan di dunia, di bumi Allah S.W.T. Semuanya terasa begitu asing. Aku hanya seorang anak kecil yang lemah. Aku tidak mampu mengeluarkan suara malah mengeluarkan kata kata. Aku hanya mampu untuk memandang dua orang insan di hadapanku dengan penuh persoalan. Ya Allah, mengapa aku di sini? Mengapa engkau menciptaku? Adakah kerana takdir dan qada dan qadarmu, yang menempatkan aku di bumi ini? Atau aku dilahirkan sebagai seorang umat, sebagai seorang hamba untuk beribadah kepadamu?

Betapa berterima kasihnya aku kerana aku telah berjaya dilahirkan tanpa ada sedikit pun cacat celanya. Aku dilahirkan dengan sesempurna ciptaanmu. Cukup semua anggota, mata tangan kaki mulut hidung dan cukup sifatnya. Tidak seperti anak yang lain, yang tidak sempurna tubuhnya. Betapa hancurnya hati seorang ibu apabila melihat ketidaksempurnaan anak yang dilahirkan tetapi mereka masih menjaganya, masih memberi kasih sayang kerana sesungguhnya itu adalah amanat dari Allah. Sedarlah manusia, bahawa semua nikmat dan semua yang kita punyai di dunia ini adalah pinjaman sementara. Bersyukur dengan apa yang dikurniakan. Janganlah sesekali engkau takbur dan bongkak dengan apa yang ada.

Kepada ibu yang telah melahirkan dan membesarkan aku dengan penuh kasih sayang tanpa berbelah bagi, jagaan dan perhatianmu menjadikan aku seorang manusia kini. Jika engkau tidak melarang dan jika engkau tidak menegurku, mungkin aku akan berpeleseran tiada hala tuju. Kepada ayahku, terima kasih tidak terhingga kerana tidak pernah mengenal erti penat, tidak tahu erti payah mencari sesuap nasi untuk kami semua. Bukan sahaja sesuap nasi, malah semua keperluan kami engkau tidak sia sia kan. Tidak pernah walau sekali kau merungut, tidak pernah walau sekali kau bersungut. Apa yang tiada, engkau adakan. Apa yang kurang, engkau lebihkan. Begitu besar pengorbananmu ayah. Begitu besar kasihmu ibu.

Mungkin aku pernah meninggikan suara, mungkin aku pernah membohongimu ibu, mungkin aku pernah memarahimu ayah. Maafkan segala ketelanjuran, maafkan segala sikap yang telah aku zahirkan. Sesungguhnya aku dibawah pengaruh nafsu oleh syaitan dan iblis. Ampunkan dosa dan segala kesalahan yang telah aku lakukan. Pandanglah kehadapan jangan sesekali kau toleh kebelakang. Biarkan yang berlalu jangan dikenang.

Bimbinglah aku ibu, tegurlah aku ayah. Aku berjanji kepadamu ibu, aku berjanji kepadamu ayah, aku akan menjadi seorang anak, seorang hamba Allah yang solehah, yang mentaati segala suruhan dan perintah-Nya, yang menjaga solatnya, yang menjaga amalnya. Restuilah perjalananku agar aku menjadi orang berilmu dan berguna untuk agama. Kerana itu aku disini. Kerana itulah Allah menempatkan aku disini. Berkatilah pelajaranku, janganlah kau menjadikan segala yang orang tua aku lakukan itu sia sia. Insyallah. Tentukanlah jodoh buatku yang baik, yang mentaati perintahmu supaya dapat dia membimbing aku ke jalan yang diredhai. Amin.



Bingkisan Cinta dari Hati Nurani,
Nurhasmira binti Azmi